Friday, March 25, 2016

Ke Mana Perginya Kasih (Bahagian Terakhir)

"Jika kita sayangkan seseorang, apa yang terbaik untuk kita buat adalah lepaskan dia. Jika dia datang balik, dia milikmu."

Cebisan kata dari sebuah novel yang menjadi kegemaran Mughirah selama ini.

Setelah Ain memberitahu bahawa Fizi telah bercadang untuk berkahwin dengannya, hatinya berdegup laju. Dia seakan-akan tidak tahu untuk berkata apa-apa. Jarinya kaku, lidahnya kelu, otaknya beku, tidak dapat berfikir.

"Apa aku nak jawab ni" bisik Mughirah dalam hati. "Aku dah seen dah mesej Ain ni. Hmmm ya Allah."

Mughirah cuba untuk tabah. Berusaha tidak rebah. Tabah untuk menerima hakikat. Lalu, jarinya menaip untuk membalas mesej Ain.

"WAAAAA Alhamdulillah Ain. Yeay dah lama tak makan nasi minyak ni. Huhu mak ayah awak dah tahu ke?"

"Eh lambat jugak reply? Haha dah. Mereka pun dah tahu masa ni akan tiba jugak akhirnya. Kata mereka baguslah, tak payah risau lagi. Takut lama-lama akan dicemari kotor maksiat nanti." kata Ain sambil memenuhkan ruang chat dengan emoji menangis dan gembira sambil mengeluarkan air mata.

"Saya tumpang gembira Ain :) macam dah dirancangkan? Hari ni kan hari terakhir kita bekerja kat 3S tu. Bijak Abg Fizi ni. Nice game! xD" balas Mughirah.

"Kan? Haha alhamdulillah. InsyaAllah inilah yang terbaik." 

*******************************************************************************************

13 Mei.

Perkahwinan Nur Ain Humaira binti Saidi dan Aiman Hafizi bin Mohd Nizam.

Pelamin tersusun rapi. Bertemakan modern vintage. Emas. Putih. Nampak kegembiraan di wajah kedua keluarga mempelai. Beramah mesra. Bergurau senda. Kanak-kanak berlari-lari ke hulu dan ke hilir keriangan. Mungkin kerana selamatnya ijab dan qabul antara pasangan yang berkahwin.

"Saya terima nikahnya Nur Ain Humaira binti Saidi dengan mas kahwin RM100 tunai."

Dengan itu, maka sahlah hubungan mereka berdua. Kemesraan selama ini dihiasi dengan ikatan yang sah.  

Mengalir air mata Ain setelah suaminya itu melafazkan nikahnya. Air mata kegembiraan. 

Namun..

Jauh di sudut hatinya, dia mencari kelibat rakan baiknya, Mughirah. Setahu dia, kad jemputan kahwinnya telah selamat sampai ke rumah Mughirah. Tapi, tiada apa-apa respons daripada Mughirah diterimanya. Risau, gundah gulana dibuatnya.

Setelah selesai majlis, masih juga tidak kelihatan batang hidung si Mugh. Ain pun mengambil telefon bimbitnya dan menelefon Mugh.

"trut trut trut...nombor yang anda dail tidak ada dalam perkhidmatan"

"Haishh mana Mughirah ni? Angkatlah. Hari bahagia aku kau buat hal laaa" keluh Ain sambil berkali-kali mencuba menghubungi rakannya itu.

**********************************************************************************************

Sebulan telah berlalu. Masih tiada khabar dari Mugh.

Ain beberapa kali ke rumahnya namun kosong tiada penghuni. Hatinya semakin tidak tenang.

Tiba-tiba, notifikasi telefonnya muncul di skrin kunci.

"Assalamualaikum Ain. Saya minta maaf sebab tak datang majlis kahwin awak. Saya ada hal nak diselesaikan dekat kampung halaman. Ni nombor baru saya. Maaf sebab tak bagitahu pasal nombor baru ni. Hmm nak pesan, jaga Abg Fizi baik-baik okay Ain? Jangan sia-siakan. Jujurnya dahulu saya ada perasaan dengan Abg Fizi, namun setelah awak cakap yang Abg Fizi nak kahwin dengan awak, saya lalu jadi tak keruan. Macam speechless sangat. Sebab tu saya berhasrat untuk menjauhkan diri. Takut saya tidak dapat kawal diri dari perasaan ini. Biarlah, cerita lamakan. Hehe usah risau Ain, saya baik-baik ja sini. Kalau ada masa kita jumpa ya :) 

"Jika kita sayangkan seseorang, apa yang terbaik untuk kita buat adalah lepaskan dia. Jika dia datang balik, dia milikmu." 

Haha saya rasa kata-kata di atas merujuk kepada saya. I guess the last part won't happen to me, at all. Nevermind, I risked everything for my beloved friend. Assalamualaikum."

Ain mengalirkan air matanya. Tidak dapat percaya apa dibacanya.

--TAMAT--











 


 

1 comment: